Friday, 17 October 2014

Pemakanan sihat untuk ibu yang mengandung ?

Pemakanan yang sihat dan betul adalah amat penting semasa wanita mengandung. Pemakanan mempengaruhi perkembangan dan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan. Mengikut kajian kesihatan , ibu mengandung perlu menambahkan kalori sehingga 300kcal semasa mengandung berbanding sebelum mengandung untuk memenuhi keperluan perkembangan bayi dalam kandungan. Walaupun mungkin terdapat masalah loya, muntah-muntah dan hilang selera makan semasa awal mengandung tetapi ianya adalah sementara sahaja dan ibu-ibu masih perlu makan makanan yang sihat semasa melaluinya. 

Tetapi terdapat sesetengah ibu mengandung yang makan lebih dari 300kcal dan mengikut selera sahaja tanpa mempertimbangkan faktor makanan sihat. Walaupun digalakkan menambahkan kalori makanan semasa mengandung , makan berlebih-lebihan semasa mengandung boleh mengakibatkan masalah kegemukan, darah tinggi dan kencing manis semasa mengandung. Oleh kerana itu, adalah amat penting ibu-ibu mengandung mempunyai ilmu yang betul tentang pemakanan sihat. 

Ada beberapa tips tentang pemakanan yang sihat dan betul semasa mengandung:

1. Makan pelbagai jenis makanan dan jangan hanya banyak makan karbohidrat sahaja jika terasa lapar. Anda tidak digalakkan terlalu banyak makan makanan proses seperti kek, roti putih, biskut, mee segera, kuih-muih, mee, mee hoon, jajan, kerepek dan sebagainya kerana ianya tidak mengandungi zat-zat yang secukupnya.Makanlah nasi dengan sayur atau ulam dan lauk seperti telur, ikan, ayam atau daging. 


2. Makanlah sayuran jenis berdaun hijau seperti bayam, kangkung, sawi dan sebaginya patut dimakan selalu untuk mencegah masalah sembelit disamping membantu mendapatkan zat besi yang ama penting untuk ibu mengandung. Sayuran berdaun hijau mengandungi zat asid folik dan zat besi yang penting untuk proses membina sel-sel darah merah dan mengelakkan masalah anaemia atau kekurangan hemoglobin darah. Kekacang seperti kacang kuda, kacang hitam, kacang merah juga mengandungi zat ini. Zat asid folik juga boleh mencegah masalah kecacatan tulang belakang atau spina bifida pada bayi.

3. Makanlah makanan yang kaya dengan serat seperti roti gandum penuh, oat, beras perang, sayur-sayuran, buah-buahan untuk mengelakkan kegemukan melampau dan juga melawaskan buang air besar. 


4. Anda juga digalakkan mengambil susu atau apa-apa produk tenusu seperti dadih, yogurt atau sebagainya untuk membekalkan zat kalsium yang diperlukan untuk pertumbuhan tulang bayi dalam kandungan. Susu juga mengandungi protein yang baik. Kadar RDA untuk kalsium sehari adalah 1000mg hingga 1300mg untuk ibu-ibu mengandung dan yang menyusukan anak. Sumber kalsium yang lain adalah keju, sayuran berdaun hijau, brokoli, bayam, makanan laut, ikan bilis dan kekacang. Pengambilan vitamin D juga amat penting untuk memastikan kalsium yang diambil diserap sepenuhnya. Vitamin D boleh didapati dengan mendedahkan kulit pada cahaya matahari setiap pagi dan juga melalui suplemen atau makanan yang ditambah dengan vitamin D seperti susu, telur dan ikan. 


5. Makanlah banyak buah-buahan pelbagai jenis seperti buah mangga, betik, jambu, pisang, tembikai, epal, limau, oren, tembikai susu, pear, anggur, buah naga dan pelbagai jenis buah lagi mengikut kesukaan anda. Buah-buahan amat kaya dengan semua jenis vitamin seperti vitamin C, B kompleks, mineral seperti magnesium,zink, kalium dan sebagainya. Keperluan Vitamin C bertambah semasa mengandung untuk keperluan ibu dan bayi dalam kandungan. Makan buah-buahan kering seperti kismis, kurma, buah tin, apricot dan lain-lain juga digalakkan. Buah kurma adalah amat baik untuk ibu mengandung dan digalakkan diambil dengan susu.

6. Pemakanan yang tinggi dengan zat Vitamin A seperti lobak merah, keledek, labu, bayam, apricot, mangga, betik dan sebagainya juga amat penting untuk perkembangan bayi dalam kandungan yang sihat. 

7. Ibu-ibu mengandung juga digalakkan mengambil supplemen mutivitamin, vitamin C, vitamin E, Omega 3 sebagai zat makanan tambahan semasa mengandung untuk memenuhi keperluan zat-zat surih yang kekurangan dalam pemakanan seharian. Tetapi pemakanan sihat setiap hari adalah amat penting dijaga dan diteruskan walaupun anda mengambil pil-pil suplemen. 


 
Terdapat juga beberapa makanan dan tabiat buruk yang patut dielakkan semasa mengandung kerana ia boleh mengganggu kesihatan kandungan dan ibu yang mengandung.

1. Kurangkan pengambilan gula yang berlebihan kerana gula akan menyebabkan masalah naik berat badan yang tidak terkawal. Disamping itu ia juga menyebabkan risiko mendapat masalah Diabetis semasa mengandung. 


2. Elakkan makanan proses seperti mee segera, jajan, kerepak yang kaya dengan pengawet, perasa tiruan dan pewarna makanan yang tidak sihat untuk bayi dalam kandungan. 


    

3. Elakkan juga penggunaan gula tiruan atau saccharin. Bahan ini banyak diletakkan dalam makanan proses dan minuman manis. Saccharin boleh menembusi uri dan masuk kedalam bayi dalam kandungan dan menyebabkan masalah kemudian apabila bayi membesar. Saccharin dikaitkan dengan risiko kanser. Elakkan juga pemanis tiruan lain seperti aspartame, acesulfame dan sucralose kerana ia boleh meransang ibu-ibu mengandung untuk makan benda-benda manis dan selera makan yang tidak terkawal. 



4. Kurangkan minum kopi dan minuman berkarbonat kerana kandungan kafein yang berlebihan adalah tidak sihat untuk bayi dalam kandungan. Hadkan kopi kepada dua cawan sahaja sehari maksimum. Cokelat juga mengandungi kafein, oleh jangan makan cokelat yang berlebihan semasa mengandung.

5. Bagi yang bukan muslim, elakkan minuman beralkohol secara total semasa mengandung kerana alokohol boleh menyebabkan masalah kelahiran pramatang, terencat akal pada bayi, kecacatan semasa kelahiran dan berat bayi yang rendah. Alhamdulillah bagi umat Islam , minuman arak ini sememangnya diharamkan sepanjang masa.

6. Kurangkan makan ikan yang besar seperti ikan jerung, tuna, ikan todak, jenahak kerana ikan-ikan yang besar ini mengandungi kandungan logam raksa atau merkuri yang tinggi dan ianya tidak sihat untuk ibu dan bayi dalam kandungan.


 
Bagi ibu-ibu yang mengalami masalah loya dan muntah-muntah yang keterlaluan boleh lah makan sikit-sikit secara kerap. Tiada masalah mengambil buah-buahan yang masam untuk mengurangkan rasa loya, tetapi janganlan makan jeruk atau buah kering seperti asam masin untuk mengurangkan rasa loya kerana ianya tidak sihat kerana penuh dengan pengawet dan perasa tiruan.

Bagi ibu yang menghadapi masalah sembelit terutama pada bulan-bulan terakhir semasa mengandung, anda dinasihatkan makan lebih banyak sayuran hijau, ulam-ulaman dan juga buah-buahan disamping minum air kosong yang lebih sehingga 10 gelas sehari.


 
Ada juga ibu-ibu yang menghadapi masalah pedih ulu hati semasa sedang sarat mengandung. Untuk mengatasi masalah ini makanlah secara kerap dengan jumlah makanan yang lebih sedikit sepanjang hari dan minumlah susu dengan lebih kerap. Ibu juga boleh minum susu kacang soya jika tidak suka minum susu biasa. Elakkan minuman berkarbonat, jus oren, kopi dan lain-lain minuman masam jika anda mempunyai masalah pedih ulu hati.

Makanlah secara sihat semasa mengandung untuk mendapat anak yang sihat dan comel dan mengurangkan risiko mendapat penyakit pada kemudian hari. 

Wassalam



Dr Norman Mohd Norawi

(MBBS, FAGE, MScAAARM)

No comments:

Post a Comment

Elegant Rose - Working In Background

DISCLAIMER

Segala testimoni atau penulisan tentang produk yg dikongsi dilaman web saya ini bukan bertujuan untuk merawat, mencegah, mendiagnos atau menyembuhkan apa jua penyakit/ masalah kesihatan.

Pembaca yg mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan yg berkaitan.