Thursday, 4 December 2014

Selamatkah amalkan suntikan vitamin C untuk cantik?

Semalam , ada seorang customer yang minta pendapat tentang pengambilan suntikan vitamin C.Jujurnya , saya tak begitu setuju sebab pihak kementerian kesihatan sendiri telah maklumkan bahawa kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf suntikan vitamin C ini dan tidak membenarkan pegawai perubatan kerajaan memberikannya. Untuk bantu customer saya ni ,saya cuba dapatkan keterangan lanjut dari sahabat-sahabat yang berada dalam profesion ni dan alhamdulillah ,terjumpa satu artikel berkaitan dengan amalan suntikan Vitamin C ni.



20130420-152306.jpg



Ramai gadis yang datang berjumpa saya dan meminta agar mencucukkan vitamin c melalui salur darah di tangan. Mereka tidak mempunyai sakit apa-apa, tetapi mahu mengambilnya atas tujuan mencantikkan kulit. Walaupun secara prinsipnya, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf suntikan vitamin C ini dan tidak membenarkan pegawai perubatan kerajaan memberikannya, saya fikir, selagi ada permintaan, pasti ada orang yang akan melakukannya. Tidak kiralah sama ada doktor pakar, doktor swasta, pekerja pusat kecantikan malah ada yang mencucuknya sendiri! Oleh itu , sebelum sesiapa mahu mengambil suntikan ini untuk dirinya, terdapat beberapa perkara yang patut difikirkan sehabis-habisnya oleh empunya badan sebelum memasukkan benda-benda ke dalam badan.
Apa itu vitamin C? 
Vitamin C adalah satu vitamin larut air, yang diproses melalui buah pinggang. Kadar keperluan seharian yang dicadangkan oleh FDA ialah 75mg/ sehari bagi wanita dan 90 mg/’sehari bagi lelaki, 45 mg sehari diperlukan bagi mencegah penyakit scurvy. Ianya diperlukan bagi kesihatan gusi, kulit dan tisu penyambung dalam badan yang lain.
Kaedah pemberian ubat
Suntikan vitamin C yang terkenal pada masakini ialah suntikan melalui salur darah vena ( intravenous) dan bukannya terus pada kulit. Suntikan pada kulit banyak diamalkan oleh para artis dan selebriti. Suntikan secara masuk ke dalam darah ini terkenal kerana mudah didapati dari internet/ farmasi / individu persendirian dan harganya mampumilik antara RM100-300 ( sekotak).
Setiap ampul mengandungi kandungan vitamin C yang jauh melebihi daripada kadar yang disarankan dari oeperluan harian iaitu 1000 mg ke atas, dan kadangkala dicampur dengan bahan lain seperti glutathione, plasenta, collagen dan lain- lain.
Apa-apa suntikan menggunakan jarum ke dalam salur darah, baik air garam/ ubat-ubatan/ darah dan lain-lain, mempunyai risiko.
1) risiko air embolism
Apabila menggunakan picagari / jarum butterfly, paling penting mestilah mengeluarkan semua udara di dalam bekas sebelum dicucuk ke dalam salur darah. Sekiranya terdapat walau sedikit udara di dalam saluran tersebut, udara tersebut boleh pergi ke jantung dan menyumbatkan salur darah di situ. Risiko ini boleh menyebabkan kematian. Walaupun boleh berhati-hati, namun jarum butterfly sangat mudah di masuki udara, dan orang yang mencucuknya pula perlu memerhati dengan teliti bagi memastikan tiada udara. Jika ada gelembung udara, harus dibuang dengan membuang ubatan yang berada di hadapan udara tersebut. Simptom yang dialami ialah sakit dada dan susah bernafas, dan air embolism boleh menyebabkan kematian yang cepat.
20130421-065838.jpg
Risiko ini mudah dipantau jika orang yang dicucuk berada di hospital, yang lengkap dengan kemudahan menyelamat seperti alatan intubasi , ada pakar , jururawat dan sebagainya. Sekiranya tuan puan, dicucuk , kemudian balik ke rumah, dan perkara sebegini berlaku, adakah tuan puan sempat untuk pergi ke klinik/ hospital untuk diselamatkan?
2)risiko jangkitan pada salur darah/ kulit
Phlebitis ialah jangkitan kepada salur darah yang terjadi apabila kuman dari permukaan kulit masuk ke dalam salur darah. Kuman ini memang sentiasa ada di permukaan kulit, tetapi apabila ia masuk melalui jarum yang digunakan, ia boleh menyebabkan jangkitan dan radang pada salur darah atau pun kulit ( cellulitis). Walaupun langkah berjaga-jaga seperti menyapu kulit dengan alcohol swab dan menggunakan jarum serta alatan steril , tetapi risiko kuman tersebut menjangkiti salur darah tetap ada, apatah lagi jika dicucuk setiap minggu. Sekiranya alatan yang digunakan tidak dibersihkan dengan sempurna, risiko ini meningkat lagi. Simptom yang dialami ialah rasa sakit, kulit berwarna kemerahan, bengkak dan panas pada kawasan kulit yang dicucuk.
20130421-070232.jpg
Jangkitan kulit yang boleh berlaku

3) risiko tersalah tempat cucuk

Vitamin ini biasanya dicucuk di antecubital fossa, ( iaitu ruangan antara lengan, bertentang dengan siku). Di tempat ini , selain vena , terdapat salur darah arteri yang menghala ke jantung, ada saraf-saraf dan otot-otot. Sekiranya suntikan ini terkena pada tempat lain seperti tidak masuk ke dalam salur darah dan berkumpul di bawah tisu, ia boleh menyebabkan bengkak, sakit, dan rasa kebas tangan. Sekiranya ianya terkena pada arteri, iaitu saluran yang membawa darah beroksigen, ada risiko tisu tangan tidak mendapat bekalan darah beroksigen dan boleh menjadikan ianya gangren ( bertukar menjadi hitam dan mati, terpaksa dipotong seperti yang terjadi pada seorang kanak- kanak tidak lama dahulu).
4) risiko salur darah menjadi keras
Apabila dicucuk berkali- kali, saluran darah akan menjadi berparut dan sempit. Ini kerap kali terjadi kepada penagih dadah yang menggunakan ubatan yang dicucuk dan pesakit kemoterapi. Kesannya , saluran darah tersebut menjadi keras dan tidak boleh digunakan lagi. Akibatnya, jika keadaan memerlukan seperti kecemasan ( kemalangan jalanraya dan sebagainya) saluran darah terpaksa dipilih dari kawasan seperti leher, paha atau dada.

Isu bahan yang dicucuk
1) Kebanyakan para penjual mencanangkan bahawa mereka menjual Laroscorbine platinum yang dikeluarkan oleh syarikat Swiss ternama iaitu Roche. Pembungkusan yang menarik dengan logo Roche meyakinkan pengguna bahawa ia adalah produk berkualiti dan asli. Namun begitu, mengapakah ianya tidak wujud dalam senarai produk Roche?
Malah ada pengguna yang menyatakan dia telah menghubungi pihak Roche, dan Roche menyatakan mereka tidak mengeluarkan produk tersebut. Jadi adakah produk ini palsu?
20130420-224055.jpg
Oleh kerana , produk ini memang tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, dan pihak Roche pula tidak mengeluarkan produk ini siapakah yang mengeluarkannya? Jika ada perkara buruk terjadi, kepada siapa pengguna akan meminta pertolongan?
2) Menurut Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia, vitamin C terbaik adalah disapu pada kulit. Keberkesanan melalui cara dicucuk adalah diragui. Klinik Hasseenah di Malaysia merupakan klinik khas untuk rawatan jerawat dan jeragat, yang dikendalikan oleh Dr Hasseenah Hassan, seorang pegawai perubatan muslim yang pakar dalam rawatan kulit , juga menyatakan bahawa kliniknya tidak menyediakan rawatan sebegini. Secara logik akal, sekiranya pakar kulit sendiri mengatakan ianya tidak berkesan, adakah berbaloi kita mengeluarkan wang dan mendedahkan diri kepada risiko kesihatan seperti di atas, untuk sesuatu yang hasilnya tidak menentu?
20130420-223946.jpg
3) kesan jangka panjang
Vitamin C yang dimakan merupakan vitamin yang tidak boleh disimpan di dalam badan. Sebarang lebihan akan dikumuhkan melalui buah pinggang ke dalam air kencing. Serapannya berkurangan walaupun diambil pada dos yang tinggi (63% saja daripada dos 500 mg yang diserap ke dalam badan). Namun begitu, vitamin C yang dicucuk tidak diproses oleh hati dan berada dalam badan dalam kepekatan yang tinggi.
Vitamin C pada dos yang melebihi 2000 mg amnya boleh menyebabkan kesan sampingan seperti cirit- birit dan sakit perut ( gastrik) kerana sifatnya yang berasid. Pada ketika ini, tidak diketahui lagi sama ada dos vitamin C yang tinggi yang diberikan secara intravena boleh menyebabkan kesan sampingan yang sama kerana tiada kajian yang terperinci jangka panjang dilakukan. Namun mungkin para pengambil suntikan juga perlu memikirkan kesan sampingan jangka panjang yang boleh terjadi
4) status halal 
Kerapkali masyarakat kita mempersoalkan status halal ubat yang digunakan. Baik insulin, vaksin, ubat cair darah untuk pesakit jantung dan lain-lain. Majlis Fatwa amnya menyatakan sekiranya ubat tersebut diperlukan bagi menyambung nyawa, dan tiada pilihan lain, maka penggunaan ubat tersebut diharuskan. Namun saya dapati, tidak ramai pula yang mengambil berat isu halal dalam vitamin c ini. Tambahan pula banyak campuran yang kita tidak ketahui asal usulnya, contohnya plasenta : diambil dari manusiakah? Collagen : berasal dari haiwankah? Vitamin C ini bukanlah ubat menyambung nyawa ( bagi yang mengambilnya untuk tujuan kecantikan) , tidak mahu tunggu pengesahan haram halal dahulu sebelum digunakan?
Tidak dinafikan, terdapat kajian saintifik yang menunjukkan suntikan vitamin C dapat meningkatkan kualiti pesakit kanser . Namun, seperti juga setiap perbuatan dan keputusan yang kita ambik di dalam hidup ini, adakah risiko perbuatan tersebut berbaloi dengan faedah yang didapati. Secara jujurnya, sebagai pengamal perubatan yang biasa berurusan dengan suntikan dan komplikasinya, seboleh-bolehnya saya akan elakkan dari menggunakan kaedah ini. Banyak cara lain dan ubatan lain yang lebih selamat dan terbukti berkesan mencantikkan wajah yang boleh dipraktikkan.
Credit to mamaceria.com
Terima kasih kerana sudi baca artikel ini dan semoga bermanfaat.Nantikan entri yang berikutnya ...




FAZLINA SAMSUDDIN
Whatsapp/SMS ; 019 556 0012

COD ALOR SETAR/JITRA/POKOK SENA/MERGONG/KEPALA BATAS/BANDAR BARU AMAN.URUSNIAGA SECARA POS KE SELURUH MALAYSIA SECARA PERCUMA **

No comments:

Post a Comment

Elegant Rose - Working In Background

DISCLAIMER

Segala testimoni atau penulisan tentang produk yg dikongsi dilaman web saya ini bukan bertujuan untuk merawat, mencegah, mendiagnos atau menyembuhkan apa jua penyakit/ masalah kesihatan.

Pembaca yg mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan yg berkaitan.