Wednesday, 2 December 2015

Ibu bapa obses, anak tertekan




Baru saja berapa bulan yang lalu, murid-murid darjah enam menerima keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Ada yang memperoleh keputusan cemerlang dan sebaliknya.

Apa yang menjadi isu hangat setiap kali keputusan diumumkan bukanlah kerana meningkat atau menurunnya peratus murid yang cemerlang secara keseluruhan tetapi rata-rata gaya masyarakat kini lebih gemar memfokuskan berapa A yang anak-anak mereka atau anak orang lain dapat.

Sehinggakan soalan “Anak awak dapat berapa A?” yang diutarakan menjadi soalan yang paling ditakuti kepada ibu bapa murid-murid berkenaan kerana bimbang keputusan anak mereka memberi aib.

Tanpa disedari ketaksuban ibu bapa dalam ‘memaksa’ anak-anak untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan banyak mengundang situasi kurang baik kepada anak-anak yang tidak dapat memenuhi impian ibu bapa.

Segelintir ibu bapa yang menganggap UPSR satu peperiksaan yang sangat penting sanggup memberikan hadiah berupa sebuah kereta Mini Cooper, telefon bimbit pintar, bercuti ke luar negara dan sebagainya kepada anak-anak kerana berjaya memperoleh 5A. Tanpa kita sedar, tindakan itu juga memberi tempias tekanan kepada murid-murid lain yang kurang berjaya atau berjaya tetapi ibu bapa mereka tidak berkemampuan.
Keadaan ini mengundang rasa kecewa dan sedih kepada murid-murid berkenaan kerana telah mengecewakan ibu bapa mereka, malah lebih buruk ada yang bertindak lebih agresif apabila membunuh diri seperti yang pernah berlaku kepada seorang murid perempuan India di sebuah negeri tahun lalu yang dikatakan terjun bangunan kerana terlalu kecewa tidak memperoleh keputusan 5A.

Jika dilihat situasi ini jelas membuktikan kanak-kanak itu berasa tertekan sehingga bertindak membunuh diri walaupun hanya gagal mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang tidak dianggap sebagai penentu hala tuju kerjaya masa depan.
Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikitari di Unit Kanak-kanak dan Remaja dari Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan, Dr. Norzila Zakaria, keadaan berkenaan berlaku mungkin disebabkan tindakan ibu bapa yang terlalu obses mahukan anak-anak mereka berjaya dalam apa jua peperiksaan kerana beranggapan peperiksaan penentu kejayaan hidup anak-anak itu.
Tanpa menghiraukan kejayaan-kejayaan kecil lain yang anak-anak telah usahakan, jelas Dr. Norzila, tindakan ibu bapa itu sendiri melahirkan anak-anak yang rendah keyakinan diri hanya kerana tidak cemerlang dalam akademik.

“Apabila kita hanya melihat kejayaan dalam peperiksaan semata-mata, maka keputusan peperiksaan menentukan segala-galanya. Tiada pengiktirafan kepada usaha yang telah anak-anak lakukan dalam menghadapi peperiksaan, misalnya bagaimana mereka berusaha mengulangkaji pelajaran pada waktu luang, perlu menjaga adik seketika sewaktu sedang membaca, bangun di awal pagi untuk menelaah pelajaran dan sebagainya.

“Apa yang ibu bapa nampak hanya kegagalan anak-anak itu dalam peperiksaan dan kegagalan itu seolah-olah menenggelamkan segala usaha yang anak-anak telah lakukan,” katanya.

Tambah beliau, mentaliti ibu bapa yang menjadikan kejayaan dalam peperiksaan sebagai penanda aras kepada kejayaan masa depan harus diubah, jika mahu melahirkan anak-anak yang bukan sahaja bijak malah mempunyai keyakinan tinggi.
Bukan sahaja ibu bapa, perubahan mentaliti itu seharusnya dilihat dari semua peringkat, bermula daripada guru sehingga sistem pendidikan yang diamalkan di negara ini yang terlalu mementingkan pencapaian akademik dan peperiksaan dalam menilai kejayaan murid-murid.

Jelas Dr. Norzila, sistem pendidikan yang cenderung kepada pencapaian akademik semata-mata tidak membantu kecemerlangan secara keseluruhan generasi bijak pandai negara.
“Oleh kerana setiap sekolah mempunyai sasaran kecemerlangan yang perlu (wajib) dicapai, maka ibu bapa merasakan sesuatu yang perlu dipenuhi bagi menjaga nama dan prestasi sekolah manakala guru-guru juga terpaksa berusaha menghabiskan sukatan pelajaran demi memastikan matlamat sekolah tercapai, itu belum lagi penekanan yang perlu diberikan kepada pelajar-pelajar yang lemah.

“Ini boleh membawa kepada kebimbangan bagaimana kalau tak dapat 5A? Malu dengan kawan-kawan, guru-guru, mengecewakan ibu bapa. Ini mengakibatkan rasa rendah diri dan kekecewaan yang amat sangat dan boleh mengundang kepada masalah kemurungan yang mungkin boleh membawa kepada fikiran rasa tidak berharga dan lebih baik mati.
“Malah, kerana mahukan anak-anak segera menguasai bidang akademik, seawal usia empat tahun mereka telah dihantar ke tadika atau kelas tuisyen sedangkan waktu itu anak-anak berkenaan harus dibiarkan mengembangkan potensi diri masing-masing secara semula jadi.

“Itulah sebahagian punca mengapa anak-anak kini menjadi terlalu tertekan dan sedih walaupun telah memperoleh 4A 1B sedangkan keputusan itu sudah terlalu cemerlang pada sesetengah murid lain,” jelas beliau.

Berkongsi bagaimana jalan segera untuk ‘merawat’ kesedihan anak-anak dalam peperiksaan, ujar Dr. Norzila, semuanya boleh diubah jika ibu bapa dapat menerima keputusan kurang cemerlang dengan terbuka hati, dan menenangkan anak-anak mereka bahawa mereka sudah pun berjaya membuat persiapan dan menduduki peperiksaan dengan cemerlang maka anak-anak sudah pasti tidak terlalu bersedih.
Menurut Dr. Norzila, tidak kira apa agama dan bangsa, aspek kerohanian adalah menjadi tunjang dan matlamat hidup setiap manusia, justeru anak-anak perlu dilatih tidak hanya berjaya di dunia tetapi juga di akhirat.

“Tekanan dan kesedihan anak-anak yang gagal dalam peperiksaan pastinya berbeza mengikut bagaimana respons orang sekeliling seperti rakan-rakan, guru-guru dan paling penting ibu bapa dan ahli keluarga.

“Ibu bapa dan guru perlu mempunyai satu kaedah yang sesuai dan munasabah dalam menguruskan murid yang kurang cemerlang agar usaha mereka untuk berjaya dalam hidup tidak terhenti begitu sahaja,” ujar beliau.

Dr. Norzila juga berpendapat bahawa media massa dan laman sosial berperanan penting untuk mengubah mentaliti masyarakat agar definisi kejayaan tidak dipandang dari sudut kecemerlangan peperiksaan sahaja.

Sikap ibu bapa yang gemar membangga-banggakan kejayaan atau mengutuk kekurangan anak-anak mereka dalam laman sosial boleh mengundang rasa iri hati ibu bapa lain selain menyebabkan anak-anak berasa sedih dan menjatuhkan aib anak mereka sendiri.
Seharusnya, ibu bapa perlu bantu anak-anak menjadi seorang yang berkeyakinan dengan kebolehan yang mereka ada dan kembangkan potensi mereka dalam apa jua bidang.

TIP MEMUJUK ANAK-ANAK GAGAL DALAM PEPERIKSAAN

  1. Mulakan dengan pengiktirafan kejayaan menduduki peperiksaan.

  2. Imbas kembali segala usaha yang telah anak-anak lakukan dan tunjukkan bahawa kita kagum dengan usaha mereka.

  3. Beritahu mereka bahawa pada pandangan kita mereka telah berjaya dengan cemerlang.

  4. Tonjolkan bakat dan kelebihan yang anak kita ada yang membanggakan kita.

  5. Beritahu mereka dengan bakat ini mereka boleh berjaya dalam bidang yang lain.


No comments:

Post a Comment

Elegant Rose - Working In Background

DISCLAIMER

Segala testimoni atau penulisan tentang produk yg dikongsi dilaman web saya ini bukan bertujuan untuk merawat, mencegah, mendiagnos atau menyembuhkan apa jua penyakit/ masalah kesihatan.

Pembaca yg mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan yg berkaitan.