Saturday, 9 January 2016

Perginya anak syurga ...

Hari ni terbaca post daripada seorang ibu yang baru kehilangan permata hati ..Semoga Puan Yasmien dan suami terus tabah.Berat mata memandang,berat lagi bahu memikul ='(

Menceritakan hadith oleh Muhammad b Ismail b Ibrahim b 'Ulaiyah dan Abdul Rahman b Muhammad, berkata kedua-duanya: 'Menceritakan hadith oleh Ishaq, dia itu adalah Arzaq, hadith dari 'Auf hadith dari Muhammad hadith dari Abi Hurairah (r.a) hadith dari Nabi (s.a.w) yg bersabda: 'Tidak ada dari dua orang Islam (maksudnya, dua ibubapa) mati diantara kedua-duanya (yakni, mati sebelum mereka) tiga orang beberapa anak mereka (yg) belum sampai baligh kecuali memasukkan kedua-duanya oleh Allah (a.w) ke dalam syurga dgn kelebihan kerahmatan Allah (a.w) pada mereka (tiga anak mereka itu) ke dalam syurga.' Bersabda Nabi (s.a.w): 'Dikatakan kpd mereka masuklah kamu ke syurga.' Maka berkata mereka (i.e. anak): 'Tidak (masuk kami) sehingga masuk kedua-dua ibubapa kami (bersama-sama kami).' Maka berfirman Allah (a.w): 'masuklah kamu dan kedua ibubapa kamu.' [Hadith an-Nasa'i, Kitab Jenazah] 


Saudara, hadith ini lmenyebutkan bahawa anak-anak kedua-dua ibubapa itu 'protes' tak mau masuk syurga sehingga kedua ibubapa mereka bersama-sama mereka masuk syurga. Atas kerahmatan Allah (a.w), maka Allah (a.w) perkenankan permintaan anak-anak tersebut. Jelaslah, betapa untungnya ibubapa yg mengalami kematian anak-anak mereka ketika masih kecil itu.

AL FATIHAH buat anak syurga  PUTERA EYQRAM MIKAEL 



[2:53PM, 8/01/2016] IBU SYG EYQRAM MIKAEL: Al-Fatihah buat Anakku
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
Pagi ini, Rabu 06/01/16 dengan berat hatinya saya Ya Allah, terasa berselut bumi yang dipijak, lemahnya kaki mengatur langkah. Apatah lagi mengenangkan hari ini buah hati saya,PUTERA EYQRAM MIKAEL pulang kepada Pencipta dan tinggalkan kami di dunia dengan tiba-tiba. Sangat tiba-tiba, tanpa sebarang tanda.
Ramai yang sudah tahu. Tapi di blog ini saya maklumkanlah sekali lagi amanahkan. Takdir Allah mengkehendaki, tiada seorang pun tahu pukul berapa dan bagaimana jiwa PUTERA EYQRAM MIKAEL dijemput pulang kepada Allah oleh malaikat Izrael. Ketika ditemui jam 7pagi, PUTERA EYQRAM MIKAEL sudah kaku tak bernyawa.
Sampai ke hari ni, saya masih dalam keadaan terpana. Seolah-olah kepala dipukul oleh gendang yang sangat kuat, dengungannya buat saya tenggelam dan timbul dalam realiti. Kadang-kadang hati terasa kuat dan tabah, adakala terasa sangat-sangat lemah. Masih cuba menerima hakikat bahawa PUTERA EYQRAM MIKAEL yang setiap hari saya peluk, cium dan susukan dah tak ada lagi di sisi saya. Takkan dapat lagi saya cium pipinya di dunia. Tak mungkin lagi untuk kelihatan wajah manjanya yang baru pandai mengukir senyum manis buat kami. Semua itu dah menjadi mustahil untuk saya harapkan di dunia. Cuma di akhirat, di syurga sajalah yang tinggal untuk saya harapkan pertemuan dengaN PUTERA EYQRAM MIKAEL
Inilah kali pertama saya merasa sangat-sangat dekat dengan kematian. Sebelum ni, seumur hidup, tak pernah sekalipun saya berhadapan dengan kematian. Tak sangka, pengalaman pertama berdepan dengan kematian Allah takdirkan pada saya adalah dengan anak kandung sendiri. Masih jelas lagi dalam ingatan sewaktu saya meriba Putera EYQRAM MIKAEL yang telah tak bernyawa, kaku dalam pelukan saya, dalam perjalanan ke hospitaL sultanah bahiyah lepas. Waktu itu, tamparlah pipi seribu kalipun, tidur dan bangun berkali-kalipun, masih sukar untuk saya percaya dengan minda yang sedar, bahawa anak yang sedang tak bernyawa itu adalah anak yang saya kandung dan lahirkan ke dunia.
Sangat perit menanggung rindu buatmu PUTERA EYQRAM MIKAEL Rindu ini akan saya tanggung sampai mati. Tapi rasa rindu inilah yang akan terus mengingatkan saya bahawa PUTERA EYQRAM MIKAEL sedang menanti di syurga. Mujur masih ada 3 pasang baju PUTERA EYQRAM MIKAEL yang masih melekat kuat bau badannya. Saya asingkan dan tak akan basuh sampai bila-bila. Itu sajalah yang tinggal untuk kami. Kali pertama pulang ke rumah kami saya terus meluru ke bakul baju mencari semula baju terakhir PUTERA EYQRAM MIKAEL yang belum dibasuh. Saya cium dan temui bau PUTERA EYRAM MIKAEL Luluh semula hati saya yang sedang cuba untuk tabah. Terketar-ketar saya menangis memanggil-manggil nama MIKAEL berulang kali. Kalau bukan suami yang sedang memeluk kuat, memang saya sudah jatuh rebah tak berdaya menanggung sedih dan rindu. Longlai rasa lutut, sepertimana saya rasa sewaktu tiba di perkarangan hospitL sultanah bahiyah sambil memeluk tubuh MIKAEL yang sudah kaku.
Syukur tak terhingga pada Allah yang meminjamkan kami seorang ahli syurga yang amat dikasihiNya. Walaupun hanya 24hari tapi kenangan dan saat-saat bersama MIKAEL akan kekal sampai saya mati. Syukur pada Allah kerana memilih kami untuk diuji sebegini. Tak sangka, dalam keadaan kami yang sangat lalai dan leka dengan nikmat dunia, solat hujung-hujung waktu, doa lepas solat pun cuma sekadar di bibir dan tak bersungguh, rupanya Allah tak tinggalkan kami. Rupanya selama ini Allah memerhati. Bertuahnya rasa diri, kerana dipilih untuk mengandungkan dan melahirkan seorang penghuni syurga dari rahim sendiri.


[3:09PM, 8/01/2016] IBU SYG EYQRAM MIKAEL: Alhamdulillah, makin hari saya rasa makin kuat. Setiap kali terpandang tempat mikael selalu baring atas katil kami, hati saya berbisik, ‘mikael masih ada,mikael ada dengan Allah. Jangan sedih. MIKAEL selamat dan bahagia di sana.’ Saya sangat hargai setiap doa dan kata-kata semangat yang banyak saya terima di FB dan Whatsapp,Wchat..Hampir kesemuanya menyebut syurga dan setiap kali itulah saya aminkan doa itu, semoga kami disatukan dalam syurga Allah nanti. Kepada mereka yang menghadiahkan saya dengan mesej-mesej begitu, please know that saya sangat berterima kasih kerana kata-kata kalian sangat membantu memujuk hati saya yang sangat sedih dan rindukan MIKAEL. Saya akan balas personally satu-persatu bila ada kelapangan.
Walaupun masih sedih, saya percaya mikael pergi dengan meninggalkan banyak hikmah dan kebaikan buat kami sekeluarga. Sangatlah tak pernah saya sangka, selama ini saya sedang menjaga dan mengasuh seorang ahli syurga yang amat suci. Mesti Allah sangat sayang dan rindukan MIKAEL maka dipanggil semula MIKAEL pulang. Kalau begini perasaan sayang dan rindu seorang ibu kepada anak, macamanalah kasih sayang Allah pada dia. Sangat tak terbayangkan oleh akal manusia. Untuk kuatkan diri, setiap saat saya ulangkan pada diri, betapa saya patut bersyukur kerana sekarang MIKAEL sudah bahagia dan selamat di sisi Allah. MIKAEL tak akan menangis lapar lagi. Tak akan rimas dengan pampers yang lambat bertukar lagi. MIKAEL mesti sedang nyenyak tidur dan sentiasa senyum.MIKAEL sedang dijaga dalam sebaik-baik asuhan, di tempat yang terbaik. Tenanglah hati, redhalah hati, demi Allah yang Maha Memiliki, saya relakan MIKAEL pergi.
Di saat ini, saya cuma mahu meneruskan kehidupan dengan sebaik-baiknya, walaupun dalam hati ini akan tinggal lompong yang kekal sampai saya mati. Buat sementara waktu, saya masih takut untuk merancang apa-apa. Allah ambil MIKAEL di saat saya sedang asyik merangka perancangan buat kami sekeluarga. Saya rasa cukup sempurna dengan adanya mikael cahayamata. Macam-macam yang selalu saya bincangkan dengan suami. Lepas ini kita tambah anak lagi seorang. Lepas tu Maka sempurnalah keluarga kecil kami, kerana kami memang berhajatkan anak 2 orang saja.
Terlupa. Sangat terlupa bahawa dalam keasyikan kami merancang, ada Allah yang Maha Menentukan dan sebaik-baik Perancang. Pemergian MIKAEL menyentak hati kami, terus kami jatuh terduduk ke tanah semula. Barulah tersedar, selama ini kami langsung lupakan Allah dan akhirat dalam setiap rancangan dan impian. Terasa cukup dan sempurna dengan nikmat keluarga, sehingga hilang rasa mengharap dan mahu meminta pada Allah. Sekarang ini, seolah-olah Allah menempelak kami, ‘Nah, apa pula perancangan kau sekarang?’
Allah Maha Baik. Tak ada sesuatu pun yang Dia jadikan sia-sia. Bila Allah ambil anak kami MIKAEL hati ini seolah-olah sudah diikat dengan akhirat. Semoga simpulan itu takkan terlerai lagi sampai kami pula yang pulang kepada Dia. Sekarang ini, hanya syurga yang kami mahukan. Hanya syurga yang menjadi motivasi hidup kami di dunia. Sebab hanya di syurga

[3:18PM, 8/01/2016] IBU SYG EYQRAM MIKAEL: Buat anakku pUTERA EYQRAM MIKAEL, si kunang-kunang syurga,
Ibu dan abah redha MIKAEL pulang kepada Allah,
Ampunkan salah dan silap ibu selama 24HARI MIKAEL bersama ibu,
Ibu bersyukur memiliki anugerah terindah sepertimu,
Walau sementara cuma,
Kenangan bersama MIKAEL menjadi penguat ibu selama-lamanya.
Tunggu ibu, abah di syurga Allah ya sayang,
Bantu kami di akhirat nanti sayang,
Ibu akan sabar menanti saat itu,
Saat bertemu semula dengan MIKAEL
Berbahagialah wahai anakku bersama Allah,
Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pelindung dan penjaga buatmu.
Al-Fatihah untukmu sayang,
Kekallah MIKAEL hidup di hati ibu,
Hingga bertemu di pintu syurga wahai anakku,
Amin Ya Rabbal Alamin..


2 comments:

  1. Assallamualaikum...ummi wildan syurga..semoga Allah sentiasa merahmati....
    Alhamdulillah...Allah anugerah ansk syurga
    .untuk tunggu disana...

    ♥Betapa Allah menggangkat martabat si ibu pabila mana anak nya memohon Allah untuk membawa ibunya ke syurga bersama-sama.
    ♥ di dunia hubungan ini seketika, tetapi di akhirat kelak hartamu disana.

    ♥Semoga apa yang telah berlaku hari ini memberikan kita hikmah disebalik ujian Allah swt.
    ♥Allah menyanyangi kita semua cuma zat-zatnya adalah berlainan dan mengikut kemampuan hambanya dan ia benar-benar menguji keimanan umatnya...

    Bersama kami ummi wildan Syurga di group wildan syurga...berkongsi kisah ank syurga....yg Allah mmberi ijian dgn ambilnya ank syurga.

    0194575925
    .....add Wildan Syurga.
    Syukran jazilan

    ReplyDelete
  2. Add saya masuk group wildan syurga..saya baru sebulan kehilangan anak sulong berumur 4 thn..saya sgt perlukan sokongan skang..farhana

    ReplyDelete

Elegant Rose - Working In Background

DISCLAIMER

Segala testimoni atau penulisan tentang produk yg dikongsi dilaman web saya ini bukan bertujuan untuk merawat, mencegah, mendiagnos atau menyembuhkan apa jua penyakit/ masalah kesihatan.

Pembaca yg mengalami masalah kesihatan digalakkan mendapat nasihat dari pakar kesihatan yg berkaitan.